PERIKATAN Nasional (PN) akan mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan pembangkang dalam tempoh terdekat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya sudah melantik tiga Ahli Parlimen untuk membuat rundingan itu.
“Kita melantik tiga Ahli Parlimen dari PN untuk berunding iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.
“Rundingan akan dilakukan dalam tempoh terdekat, kita tidak tahu berapa jumlah peruntukan sebenar, namun Perdana Menteri memaklumkan akan memberi jumlah yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.
“Kita nak tengok bukti nanti dan apa syarat yang dikenakan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Tuan Ibrahim turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang adalah sama dengan pihak kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berharap peruntukan itu dapat disalurkan dengan kadar segera bagi membantu rakyat terutama ketika Ramadan.
“Saya jangkakan rundingan hanya berlaku sekali saja sebelum selesai,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengulangi kesediaannya memberi jumlah peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter yang diluluskan.
Katanya, Ahli Parlimen pembangkang perlu bersedia untuk berdepan sebarang kebarangkalian jika enggan berbuat demikian. – Malaysiapost