DAKWAAN mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melangkaui bidang kuasa dalam siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, adalah tidak tepat.
Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham menafikan dakwaan itu dan berpendapat kenyataan berkenaan “tidak betul sepenuhnya”.
“Tiada agensi atau badan lain yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi dan mempunyai kecekapan untuk menyiasat kesalahan jenayah rasuah.
“Apabila SPRM menerima laporan atau aduan mengenai dakwaan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan, adalah bertanggungjawab untuk menyiasat.
“Apabila disiasat, jika didapati bukti dan fakta untuk menyokong unsur rasuah atau salah guna kuasa, ia kemudian merujuknya kertas siasatan kepada Peguam Negara.
“Selain itu, berdasarkan fakta siasatannya, dalam kes tertentu SPRM boleh juga merujuk kes untuk tindakan tatatertib mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17 Tahun 1975 Dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5. Tahun 1997 dengan persetujuan Pendakwa Raya,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Terdahulu Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah menyifatkan SPRM melangkaui bidang kuasa dalam siasatan terhadap hakim itu.
Menurutnya, timbul persoalan kenapa SPRM beroperasi “di luar bidang yang bukan dalam skop Akta SPRM 2009”, selain di luar kecekapan suruhanjaya itu.
Mengulas perkara itu, Ahmad Rosli menyorot bahawa tanpa kewibawaan SPRM dalam menyiasat kes SRC International, sabitan yang kukuh mungkin tidak dapat diperoleh.
“Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa tiada sesiapa atau pihak yang harus dikecualikan penyiasatan oleh penguatkuasa undang-undang, sama ada anggota pentadbiran, perundangan atau badan kehakiman,” katanya.
Beliau berkata, SPRM sebelum ini telah merujuk kertas siasatannya yang ada menyebut kemungkinan pelanggaran Kod Etika Hakim kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Katanya, ia dilakukan atas persetujuan Peguam Negara dan fungsi SPRM berakhir di situ.
“Kes itu kini tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Ketua Hakim Negara sama ada untuk memulakan sebarang tindakan seperti yang digariskan di bawah Fasal 3 Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan pelantikan tribunal untuk meneliti sebarang pelanggaran peruntukan Kod Etika mengenai hakim berkenaan,” katanya.
Siasatan SPRM sebelum ini dilancarkan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan yang mengaitkan hakim itu dengan perjanjian 1MDB Tanjung Energy Holdings Sdn Bhd ketika bertugas dengan Maybank.
Pada 24 Februari lalu, panel yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan bahawa siasatan SPRM ke atas Mohd Nazlan tidak mengikut protokol.
Ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost