PENGARAH, Syamsul Yusof, 39, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi ini untuk sebutan kes nusyuz yang difailkan terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana pada 21 Mac lalu.
Pengamal media sudah berkumpul seawal jam 8 pagi diluar pekarangan mahkamah untuk membuat liputan kes melibatkan pasangan itu.
Syamsul tiba jam 9.10 pagi dengan diiringi peguamnya, Azmi Mohd Rais.
Menurut pengarah itu, kehadirannya hari ini untuk menyelesaikan permasalahan rumah tangga yang berlaku selama ini.
“Doakan yang baik-baik, saya pun taknak cakap banyak di bulan Ramadan ini,” katanya kepada media.
Sementara itu, Puteri Sarah tidak hadir dan diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Terdahulu, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac lalu dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.
Selain itu, antara alasan yang dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun. – Malaysiapost