MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjemputnya ke majlis anjuran kerajaan Persekutuan di Kedah semalam.
Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung di Jitra semalam dirasmikan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Muhammad Sanusi, kerajaan Kedah pimpinannya mengalu-alu dan meraikan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW ke negeri itu.
“Terima kasih YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas jemputan ke Majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau turut berkongsi beberapa gambarnya bersama Ahmad Zahid dalam majlis tersebut.
Sebelum ini Muhammad Sanusi mendakwa beliau dihalang menghadiri semua majlis anjuran kerajaan Pusat.
Beliau mendakwa tuduhan membocorkan rahsia sulit kerajaan menjadi punca dirinya dilarang hadir ke majlis rasmi kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA’23).
Tuduhan itu berdasarkan satu program ceramahnya di Sungai Besar, Selangor, kerana beliau dikatakan telah membocorkan rahsia kerajaan kepada umum selepas hadir mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua Menteri Besar serta Ketua Menteri di Parlimen.
Sementara itu Ahmad Zahid dalam ucapannya pada majlis semalam berkata keserasian hubungan antara kerajaan Kedah dengan Pusat mesti diwujudkan.
Katanya, sekiranya terdapat jurang, usaha untuk mendekatkannya perlu dilakukan dalam usaha memenuhi kepentingan rakyat.
Beliau berkata dasar dan jaringan kerajaan perlu tercermin dari aspek kerjasama dan bukan hanya sekadar retorik menerusi ucapan politik semata-mata.
“Bukan hanya ucapan politik tetapi bentuk kerjasama, itu yang saya laksanakan dan tentunya menjadi dasar kerajaan Pusat, asalkan kerajaan negeri (mengadakan) ‘arrangement’ dengan kerajaan Pusat dan kita amat menghormati.
“Maknanya ini melangkaui pendirian politiklah, kita ketepikan perbezaan warna (politik),” katanya. – Malaysiapost