MELAKA melantik 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi melengkapkan barisan pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, lapan Adun Barisan Nasional (BN), dua Pakatan Harapan (PH) dengan kombinasi muka baharu dan lama dilantik bagi menterjemahkan semangat kerajaan perpaduan di negeri itu.
Mereka terdiri daripada Adun Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang dilantik sebagai Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Adun Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin (Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana); Datuk Zaidi Attan (Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya); Zahari Abd Khalil (Kerja Raya Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan) dan Rosli Abdullah (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama).
Adun BN lain adalah Mohd Noor Helmy Abdul Halim (Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital); Siti Faizah Abdul Azis (Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan) dan Tuminah Kadi (Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna).
Manakala dua Adun PH iaitu Low Chee Leong dilantik sebagai Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Leng Chau Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti).
Bagaimanapun Ab Rauf memaklumkan jawatan Timbalan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) masih belum diputuskan.
“Ada satu (portfolio) yang tidak ada timbalan iaitu Exco, Belia Sukan dan NGO (kerana), kita sedang menunggu keputusan daripada mereka yang tidak dapat kita hubungi, nanti kita akan maklumkan.
“Wakil rakyat yang berada dalam kerajaan perpaduan akan dapat memainkan peranan menyumbang untuk membangunkan Melaka bersama sama kerajaan negeri yang dipimpin oleh saya,” katanya.
Pada 31 Mac lalu, Ab Rauf Yusoh telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu dengan memegang jawatan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.
Beliau mengumumkan untuk mewujudkan semula jawatan Timbalan Exco selepas dimansuhkan pada 2018 ketika pentadbiran PH. – Malaysiapost