Anwar jangan banyak cakap, jawab sahaja tuntutan Tun M – Khairuddin

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran supaya tidak bercakap banyak, tetapi menjawab dan memberikan dahulu bukti-bukti dakwaannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata Presiden PKR itu juga tidak harus mengeluarkan kenyataan menyatakan kononnya beliau tidak mahu bergaduh dengan Dr Mahathir.

“Beliau yang menuduh Dr Mahathir dengan pelbagai tohmahan fitnah yang tidak berasas dan kini Anwar memberi gambaran seolah-olah Dr Mahathir pula yang cari pasal dengannya.

“Dalam isu ini Perdana Menteri tidak perlu bercakap banyak tetapi harus ‘response’ pada tuntutan undang-undang yang dikemukakan Dr Mahathir Mohamad cukuplah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri hari ini, yang menegaskan tidak mahu ‘bergaduh’ dengan Dr Mahathir namun bersedia menjawab dan membuktikan kenyataan yang dibuatnya pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 18 Mac lalu.

Khairuddin berpandangan, apabila peguam Anwar baru-baru ini meminta penangguhan bagi menjawab tuntutan undang-undang Dr Mahathir, ia menggambarkan dakwaan dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tiada asas kebenarannya.

“Takkan kini Anwar baru hendak kumpul bukti-bukti kot? Yang saya sedari sejak tahun 1998 Anwar sudah mula menuduh serta mentohmah Dr Mahathir kononnya beliau mempunyai pelbagai bukti-bukti sahih.

“Keluarkan saja bukti-bukti yang sepatutnya sudah sedia ada untuk tatapan keseluruhan rakyat Malaysia kenapa hendak tunda pula?

“Bagi saya bila menuduh seseorang itu segala bukti harus disiapkan terlebih dahulu kerana amalan ini akan berakhir dengan saluran undang-undang pada kelazimannya,” katanya.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri, Anwar harus bertanggungjawab di atas segala tuduhan berniat jahatnya itu yang tidak berasas sama sekali.

Terdahulu, Anwar dalam sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia di UiTM Shah Alam, hari ini, berkata beliau tiada masalah untuk memberikan bukti terhadap dakwaannya.

Anwar berkata, beliau tahu percanggahannya dengan Dr Mahathir menjadi tumpuan media namun beliau memilih untuk tidak bergaduh dengan bekas Perdana Menteri itu.

“Nak suruh saya gaduh (dengan Dr Mahathir), saya tak nak gaduh.Tetapi jawab saya jawab..dia minta bukti saya akan beri bukti..tiada masalah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada MPP Perlis yang memintanya mengulas tuntutan Dr Mahathir untuk beliau menarik semula kenyataannya atau berhadapan tindakan undang-undang.

Pada 18 Mac lalu, Anwar dalam ucapannya pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 mendakwa seorang bekas pemimpin sebagai penyangak yang mempunyai berbilion ringgit dan mengagihkan untuk keluarga, anak dan sebagainya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights