Anwar tidak akan tutup UiTM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentadbirannya akan terus mempertahankan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurutnya, tindakan itu sekaligus menafikan fitnah yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini yang mengatakan UiTM akan ditutup jika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Bagus soalan mengenai UiTM ini..sebab antara fitnah yang disebarkan ialah kalau Anwar jadi Perdana Menteri, UiTM akan ditutup. Ada juga yang mempercayainya.

“Padahal kalau tahu sejarah saya..saya dahulu masa pemimpin mahasiswa di antara yang paling keras memperjuangkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga yang menuntut Institut Teknologi Mara (ITM) masa itu dinaik taraf menjadi UiTM.

“Kamilah kepimpinan yang memperjuangkannya bersama pihak lain yang banyak berjasa,” katanya dalam sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia sempena lawatan ke UiTM Shah Alam, hari ini.

Beliau menjawab permintaan wakil MPP dari UiTM Melaka yang mahu pentadbirannya terus mempertahankan universiti Bumiputera itu.

Anwar berkata, beliau konsisten dalam bab mempertahankan pendidikan Bumiputera dan tidak pernah dibangkitkan sebaliknya, malah Kerajaan Perpaduan juga tidak akan meninggalkan aspek itu.

“Kerana ini soal kenyataan hidup cuma bezanya, saya tidak mahu menafikan hak orang lain untuk kembangkan pendidikan dan belajar. Tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan mereka,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights