‘Buta hati tuduh Melayu angkuh’, Hadi bidas Anwar

‘Buta hati tuduh Melayu angkuh’, Hadi bidas Anwar

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata sekiranya orang Melayu angkuh pasti tidak akan berlaku toleransi termasuk kebebasan beragama dan bahasa kepada kaum lain seperti mana yang berlaku, hari ini.

Beliau berkata, Perlembagaan menegaskan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, namun pada masa sama hak beragama masih diberikan kepada penganut agama lain.

“Hal ini termasuklah hak berbahasa kepada kaum lain, sehingga dibenarkan sekolah jenis kebangsaan berbagai-bagai etnik wujud.

“Keadaan ini tidak berlaku di negara-negara lain. Kalau Melayu ini angkuh, nescaya tidak akan berlaku toleransi seperti ini.

“Malangnya, terdapat dalam kalangan orang Melayu yang lebih dahsyat kefahamannya daripada kacang yang tidak berakal, bermata dan bertelinga yang melupakan kulitnya, sehingga menuduh bangsanya rasis, angkuh dan sebagainya,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS hari ini.

Walaupun Abdul Hadi tidak menamakan mana-mana pihak dalam tulisan berkenaan, namun ia dipercayai sebagai menempelak kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu, baru-baru ini.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan, mengingatkan kaum Melayu Islam di negara ini agar tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok yang lain.

Menurut Anwar, Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini perlu mengambil pengajaran daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan masyarakat Islam di negara itu.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, lebih menyedihkan individu yang membuat tuduhan itu dianggap ilmuwan yang ‘berjela’ ijazah dan menjadi pemimpin yang diulungkan tetapi lemah akal daripada ilmu dan ketokohan jasadnya.

“Alhamdulillah, Melayu selamat daripada ‘makhluk asing’ yang menggunakan godaan slogan Reformasi dan Arab Spring, sehingga ada negara yang tumbang kerajaannya dan hanya tinggal gusi.

“Malah, ada negara yang hancur kerana terlibat dalam perang proksi yang telah diaturkan oleh ‘makhluk asing’ itu,” katanya.

Menurut Abdul Hadi lagi, hanya Melayu yang tidak sayangkan kaumnya berada di luar tabii yang merosakkan Melayu itu sendiri serta semua bangsa dalam masyarakat majmuk.

“Sebaliknya, hanya Melayu yang tegak bersama Islam akan menjadikan Melayu selamat dan semua bangsa selamat,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Hadi berkata, jika benar Melayu angkuh seperti Iblis, sudah pasti mereka tidak akan memeluk Islam dengan mudah kerana agama itu dibawa pendatang asing daripada kalangan bangsa Arab dan India Muslim.

“Hal ini menunjukkan bangsa Melayu menerima kebenaran dengan mudah kerana sifat tidak degil dan tidak angkuh seperti Iblis yang dinyatakan oleh Allah SWT,” katanya.

Tegas Abdul Hadi lagi, apa sebenarnya berlaku adalah, Melayu yang berkuasa dan mendaulatkan Islam tidak memaksa penganut agama lain memeluk agama itu, tetapi melaksanakan Islam yang adil kepada semua. – Malaysiapost

Komen