SEORANG Exco Pemuda Umno didakwa menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu daripada Darjah Kebesaran Istana Pahang dipercayai untuk tujuan peribadi dan perniagaan.
Perkara itu terbongkar susulan tersebar surat semakan status Darjah Kebesaran Negeri Pahang kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor, yang bertarikh 23 Mac lalu.
Menerusi surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang mengesahkan individu berkenaan tidak dikurniakan sebarang pingat Darjah Kebesaran oleh Istana Pahang.
Gelaran Datuk palsu yang diakwa digunakan individu yang juga Ketua Pemuda Umno di satu bahagian di Selangor itu dibangkitkan seorang wakil Pemuda Umno bahagian sama sebelum membuat laporan polis pada 7 Mac lalu.
Difahamkan, individu berkenaan yang juga bekas Setiausaha Pemuda Umno di satu bahagian di Selangor itu, didakwa pernah dipecat empat tahun lalu dan kini kembali aktif berpolitik.
Menurut wakil Pemuda Umno itu, individu itu juga didakwa menggunakan simbol gelaran Datuk Istana Pahang pada kenderaannya selain menggunakan teknik ubah suai foto istiadat dirinya dikurniakan pingat kebesaran.
“Perkara berkaitan penyamaran status ‘Datuk’ ini dilaporkan kepada polis dan disahkan oleh Bahagian Protokol Istana Kerajaan Negeri Pahang melalui emel apabila hasil carian, tiada rekod mengenai individu dinamakan bagi anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang (DIMP) itu.
“Ia satu dakwaan serius dan siasatan perlu dijalankan segera lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan individu yang aktif dalam politik dan perniagaan kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan implikasi besar kepada masyarakat,” katanya.
Difahamkan, Exco berkenaan turut membuat laporan polis kerana mendakwa dirinya difitnah, termasuk memaklumkan menerima anugerah kebesaran itu pada 24 Oktober 2017. – Malaysiapost