Ismail Sabri mahu buat ‘come back’ bersama NGO pejuang bahasa
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercadang kembali aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bahasa selepas Aidilfitri.
Jelasnya, sepanjang Ramadan ini, beliau memilih untuk berehat seketika dengan memfokuskan bidang kebajikan terutama membantu golongan anak yatim dan asnaf berbanding aktif politik.
“Puasa ini kita slow, jaga mulut bulan puasa ini, lepas raya nanti InsyaAllah kita tengok keadaan bagaimana.

“Jadi saya buat keputusan, puasa ini kita berehat dulu, tetapi lepas raya nanti, kita akan aktif balik dengan NGO dan kerja-kerja kebajikan.
“Mungkin NGO bahasa, sebab kita dulu berjuang dari segi Bahasa Melayu, mengantarabangsakan Bahasa Melayu, simposium yang saya sudah anjurkan dengan kumpulan pejuang Bahasa Melayu.
“Mungkin kita adakan perkara yang sama, saya aktif balik dalam aktiviti yang mungkin bukan politik, tetapi lebih kepada NGO,” katanya selepas menyantuni anak-anak yatim di Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas beliau kini dilihat tidak aktif dalam politik selepas tidak mempertahan kedudukannya sebagai Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Ketika ini, beliau hanya memegang jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Bera bagi sesi 2023-2026.
Mengulas lanjut mengenai barisan kepimpinan baharu Umno, Ismail Sabri berkata, peluang harus diberikan kepada mereka untuk membentangkan hala tuju parti.
“Kita bagi peluang kepada mereka, nak bagi komen negatif ke positif, mereka baru pegang jawatan. Kita bagi peluang untuk mereka buat perancangan, selepas itu baru bagi komen.
“Tidak adil kalau baru menang tiba-tiba kita dah bagi komen macam-macam, bagi peluang,” katanya. – Malaysiapost