Isu KWSP dibahas di Dewan Negara Isnin ini – Ahmad Maslan

Isu KWSP dibahas di Dewan Negara Isnin ini – Ahmad Maslan

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan usul berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibahaskan di Dewan Negara, Isnin ini.

Beliau berkata, usul itu sudah diluluskan untuk dibahaskan dalam kalangan senator, sebelum beliau akan menjawabnya melalui sesi penggulungan.

“Isnin ini akan ada usul berhubung KWSP yang akan dibawa pada jam kira-kira 4 atau 4.30 petang, lebih sejam saya akan mendengar pandangan senator berhubung dua perkara.

“Perkara pertama mengenai kumpulan pengeluaran bersasar, yang kedua mengenai jaminan pinjaman iaitu mereka yang meminjam bank dijamin dengan wang KWSP,” katanya.

Baru-baru ini, barisan Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak berpuas hati dengan penolakan usul bagi membahaskan pengeluaran KWSP.

KWSP dalam kenyataannya sebelum ini, memaklumkan pencarum berusia 40 tahun dan ke atas yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing layak membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), bermula hari ini.

Mengulas mengenai jumlah pencarum yang sudah melakukan pinjaman cagaran, Ahmad berkata, beliau sudah menerima taklimat daripada KWSP dan semua data serta maklumat akan dikeluarkan Isnin ini.

Sementara itu, Ahmad menasihatkan penjawat awam muda supaya membeli kediaman pada usia 20-an bagi mengelak beban hutang isi rumah yang tinggi sekali gus terpaksa menggunakan wang persaraan bagi tujuan pembayaran ansuran pinjaman.

“Hutang isi rumah memang tinggi di Malaysia yang kebanyakan mereka gunakan untuk membeli rumah dan kenderaan selain hutang pendidikan,” katanya. – Malaysiapost

Komen