Jawatankuasa Fatwa bincang ramalan Aidilfitri, elak raya mengejut
JAWATANKUASA Fatwa Majlis Kebangsaan akan membincangkan mengenai ramalan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi mengelakkan ‘raya terkejut’ seperti tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya akan membincangkan isu itu di peringkat jawatankuasa berkenaan bagi mengelak kekalutan kejadian raya awal pada tahun lalu tidak berulang.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bila mesyuarat bersama jawatankuasa itu akan diadakan.
“Seboleh-bolehnya kita nak mengelakkan apa yang berlaku pada tahun lalu tidak berulang supaya umat Islam tidak terkejut.
“Itu hasrat (elak raya terkejut) kita semua. Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan pra-matang sebaliknya menyerahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
“Kita tahu bahawa kuasa mengumumkan tarikh hari raya terletak di bawah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Putrajaya, hari ini.
Mohd Na’im juga menasihatkan umat Islam supaya bersabar dalam menanti pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri.
“Jadi saya rasa kita kena tunggulah, di pihak kami pastinya nak elak benda itu. Bagaimanapun, ada satu kaedah dalam syarak yang menyebut ‘tindakan pemerintah yang bertanggungjawab itu didasarkan kepada kepentingan awam’.
“Jadi saya ingat itu kriteria yang akan digunakan untuk memudahkan rakyat jika situasi itu berlaku kelak,” katanya.
Sebelum ini, Pusat Astronomi Antarabangsa berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjangkakan akhir Ramadan pada tahun ini jatuh pada Khamis bersamaan 20 April 2023.
Susulan itu, kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan 1 Syawal pada keesokan harinya yang akan menjadikan Jumaat (21 April) sebagai hari pertama Aidilfitri tahun ini. – Malaysiapost