Menyemai semangat Malaysia Madani

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) menyahut seruan dalam menyemai semangat Malaysia Madani di peringkat sekolah dan komuniti setempat dengan melaksanakan program kemasyarakatan.

Yang Dipertuanya Shahir Adnan, berkata terbaharu sempena bulan Ramadan ini, pihaknya berjaya melaksanakan program tahunan agihan bubur lambuk.

Menurutnya, bubur lambuk diagihkan bukan sahaja kepada anak-anak di sekolah, ibu bapa, guru-guru, malah kepada komuniti setempat.

“Program ini untuk memupuk semangat Malaysia Madani, berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur.

“Salah satu teras Madani yang menjadi tunjang PIBG SKTM2 adalah teras ihsan. Belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, PIBG dengan sumbangan beberapa pihak telah membuat agihan bubur lambuk sebanyak lebih 1,000 pek pada hari ini.

Menurutnya, sikap ihsan turut dididik di kalangan pelajar apabila mereka turut terlibat bersama-sama dalam mengagih bubur lambuk.

“Penerima agihan terdiri daripada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, mahupun ideologi politik.

“Diharapkan program-program sebegini dapat dilaksanakan di setiap sekolah agar semangat Malaysia Madani dipupuk di peringkat anak-anak lagi. Mereka adalah pemimpin masa depan negara,” katanya.

Shahir turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan semua ibu bapa, pendidik dan komuniti Taman Melawati yang sentiasa menyokong usaha PIBG dengan penglibatan program-program sekolah dan komuniti. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights