Pasangan tular buat aksi jelik dalam ‘Axia merah’ ditahan
SEPASANG kekasih yang tular di media sosial kerana melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan ditahan di dua lokasi berbeza, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, rakaman kejadian itu berlaku pada jam 3.03 petang pada 29 Mac lalu, tetapi tular di media sosial TikTok baru-baru ini.
Beliau berkata, suspek adalah seorang lelaki berumur 22 tahun dan seorang wanita berumur 17 tahun.
“Polis mengesan video tular berkenaan sebelum mendapati lokasi kejadian adalah di kawasan letak kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.
“Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek telah ditahan secara berasingan, masing-masing di Taman Johor Jaya dan Taman Kota Masai antara jam 4.15 petang hingga 5.15 petang semalam,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Sohaimi berkata, semakan dibuat mendapati kedua-dua warganegara tempatan itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna merah dan sehelai t-shirt berwarna merah dan putih.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara selama tempoh dua tahun,” katanya.
Mohd Sohaimi turut mengingatkan orang awam agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan insan negara ini. – Malaysiapost