Permohonan pengambilan khas guru dibuka mulai hari ini

PERMOHONAN pengambilan khas guru baharu bagi mengatasi masalah kekurangan pendidik di seluruh negara dibuka mulai hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, siswazah yang berminat boleh memohon terutama membabitkan empat mata pelajaran kritikal iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam

“Pengambilan khas ini bukan sahaja melibatkan graduan dalam bidang pendidikan malah graduan daripada bidang-bidang lain juga boleh membuat permohonan.

“Walaupun mungkin ada antara mereka yang bidang pendidikan bukan pilihan utama mereka ketika berada di institusi pengajian tinggi (IPT) namun, mereka masih berpeluang untuk memohon kepada pengambilan khas guru ini.

“Malah, pemohon yang sebelum ini gagal diterima juga dibenarkan untuk membuat permohonan pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran IPT Awam (IPTA) Siri Ketiga 2023 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy, di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang mana iklan mengenai pengambilan baharu ini akan dikeluarkan nanti.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, KPM juga sedang merancang beberapa kaedah bagi memperhalusi pengambilan guru itu agar ia dapat memenuhi kekurangan yang wujud.

“Usaha pengambilan guru ini adalah kesinambungan teras pendidikan bagi mengatasi kesenjangan pendidikan yang wujud selain memfokuskan kebajikan guru,” katanya.

Ketika ini terdapat kekurangan 19,431 guru atau 4.49 peratus di seluruh negara membabitkan beberapa mata pelajaran termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam. – Malaysiapost

Foto Kredit HM

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights