Tuntutan China: Kenyataan Anwar didakwa kecuaian diplomasi yang membimbangkan

KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuntutan bertindih China di Laut China Selatan disifatkan sebagai kecuaian diplomasi yang membimbangkan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), berkata Dasar Luar Malaysia dalam hal ini jelas sama seperti negara-negara ASEAN lain iaitu tidak menerima tuntutan China melalui tafsiran peta ‘Nine Dash Line’ republik itu.

“Kita tak perlu runding apa yang sudah kita miliki. Tiada pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini mengatakan sedemikian.

“Ini kecuaian diplomasi yang membimbangkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, ia seperti mana yang dijelaskan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Malaysia akan menyelesaikan sebarang kekhilafan dengan China melalui konsensus ASEAN dan ‘Code of Conduct’.

“Pendirian ini tidak sama sekali membelakangi semangat dan hubungan bilateral kita dengan China dan Malaysia akan sentiasa mempertahankan kedaulatan wilayah dan perairan kita serta kebebasan Laut Cina Selatan daripada sebarang ancaman perang dan konflik antara kuasa besar,” katanya.

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mendakwa kenyataan Anwar berhubung tuntutan bertindih China di Laut China Selatan sebagai tidak bertanggungjawab selain menggadai maruah serta kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kenyataan tersebut juga cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.

Malah Muhyiddin mendakwa, implikasi daripada tindakan tersebut secara tidak langsung memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah menjadi wilayah Malaysia.

Sebelum ini, Anwar ketika sidang Dewan Rakyat memaklumkan, Petronas akan terus melaksanakan kerja-kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan, namun menjelaskan kerajaan masih terbuka untuk rundingan sekiranya China merasakan kawasan berkenaan adalah wilayah negara berkenaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights