YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah umat Islam perlu mempunyai keinginan untuk bersatu walaupun berbeza pandangan kerana inilah sifat yang boleh memajukan diri, negeri dan negara.
Dalam hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda bertitah, umat Islam tidak boleh terlalu taksub dengan pandangan masing-masing dan mengamalkan sikap berpuak-puak dalam masjid.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis pemasyhuran Masjid Jamek Ar-Rahmani di Kampung Banggol, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
“Seri Paduka Baginda juga bertitah institusi masjid harus dipertahankan daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak dan puak.
“Baginda menzahirkan harapan agar pentadbiran masjid di bawah naungan Majlis Agama Islam Pulau Pinang di bawah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang perlu diuruskan dan diimarahkan dengan sebaik mungkin,” menurut hantaran itu.

Terdahulu Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menyempurnakan majlis pemasyhuran Masjid Jamek Ar-Rahmani di Kampung Banggol, Kepala Batas.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Pada majlis pemasyhuran tersebut, Seri Paduka Baginda telah berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Jamek Ar Rahmani Kampung Banggol dan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat jelata. – Malaysiapost