Yana Najib desak tindakan segera terhadap Hakim Nazlan

Yana Najib desak tindakan segera terhadap Hakim Nazlan

ANAK bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa mahu tindakan diambil terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dipercayai melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Exco Puteri Umno itu berkata, perbuatan hakim berkenaan merupakan perkara serius membabitkan badan kehakiman.

Menurutnya, setiap hakim seharusnya berpegang kepada prinsip yang tertinggi.

“Jangan berselindung di sebalik sistem keadilan. Ini adalah perkara serius membabitkan badan kehakiman.

“Tindakan mesti diambil dengan segera. Hakim harus berpegang kepada prinsip tertinggi,” katanya menerusi InstaStory miliknya.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai pengesahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Mohd Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Media semalam melaporkan, Azalina mengesahkan bahawa Mohd Nazlan mempunyai konflik kepentingan ketika mengetuai kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

Pengesahan itu dibuat dalam surat Azalina bertarikh 20 Mac 2023 kepada firma guaman Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu Shafee & Co yang mewakili Najib.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar surat dikatakan laporan daripada SPRM mengenai dakwaan salah laku Mohd Nazlan.

Mohd Nazlan merupakan hakim yang telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah lebih RM42 juta dana milik SRC International. – Malaysiapost

Komen