RAYUAN Muhammed Yusoff Rawther yang mahu membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini.
Ia susulan bekas pembantu penyelidik Anwar itu menarik balik rayuan terbabit yang berkaitan dengan saman difailkannya pada 14 Julai 2021, berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman Presiden PKR itu di Segambut lima tahun lalu.
Rayuan berkenaan dibatalkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Lim Chong Fong.
Panel berkenaan turut memerintahkan Muhammed Yusoff selaku perayu membayar kos sebanyak RM5,000.
Terdahulu, peguam Reenajit Kaur Golen yang mewakili Muhammed Yusoff memberitahu panel, pihaknya menulis kepada mahkamah pada 6 Mac lalu yang memaklumkan mengenai penarikan rayuan berkenaan.
Peguam Navpreet Singh bertindak mewakili Anwar pula memohon kos sebanyak RM5,000 dengan alasan Muhammed Yusoff selaku perayu menarik balik rayuan tanpa ada perkembangan baharu, bermakna beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya.
Katanya, perayu memaklumkan untuk menarik balik rayuan sebulan sebelum perbicaraan dan dua hari sebelum tarikh pemfailan hujahan yang menyebabkan anak guamnya terpaksa menanggung beberapa perbelanjaaan.
Mahkamah Tinggi pada 9 September tahun lalu menolak permohonan Muhammed Yusoff untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan serta keseluruhan tuntutan balas Anwar.
Dalam tuntutan samannya itu. Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.
Muhammed Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Disember 2019, dan Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.
Katanya, akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik Anwar yang memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana dikritik pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.
Sementara itu, Anwar dalam pembelaan dan tuntutan balasnya berkata, dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’ serta mendakwa ia tidak mungkin berlaku kerana pada tarikh berkenaan, beliau melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut.
Sehubungan itu, Anwar menuntut ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – Malaysiapost