AHLI Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse sedia menawarkan perkhidmatan guaman secara pro-bono kepada pasangan kekasih yang tular kerana didakwa melakukan perbuatan jelik di dalam kereta, baru-baru ini.
Naib Pengerusi PKR Johor itu berkata, pihaknya berharap pelaku yang merakam dan menyebarkan video tersebut dalam media sosial perlu diambil tindakan untuk keadilan.
Tegasnya, beliau bersama seorang lagi peguam iaitu Tan Chia Wei akan mengunjungi Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam, esok untuk mendapatkan butiran lebih lanjut berhubung kes berkenaan.
“Saya dan peguam Tan Chia Wei telah berjumpa dengan pasangan yang terlibat dan keluarga mereka di Pusat Khidmat pada pukul 12 tengah hari ini untuk memberi nasihat dan bantuan guaman pro-bono.
“Selepas mendengar cerita daripada pasangan tersebut, pandangan saya adalah sekiranya pasangan itu disabitkan bersalah, ia akan membawa impak negatif kepada mereka.
“Ini kerana mereka disiasat bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan, jika disabit bersalah, hukuman adalah penjara tidak melebihi dua tahun, manakala orang di bawah 18 tahun pula akan dihantar ke sekolah pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun Wee Tse tidak menafikan daripada sudut moral, perbuatan pasangan berkenaan kurang sesuai namun untuk dihukum dengan penjara adalah terlalu berat.
“Selain itu, kita juga dimaklumkan bahawa pihak yang merakam video tersebut telah menyamar sebagai anggota polis. Pihak perakam juga cuba meminta IC (kad pengenalan) daripada pasangan dan bila mereka enggan mengikut arahan, mereka diugut oleh pihak perakam. Mereka pun cuba melarikan diri tetapi dikejar pihak perakam sehingga tiba di Balai Polis Pasir Putih,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman memaparkan kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan jelik di dalam sebuah kenderaan berwarna merah.
Semalam, suspek lelaki yang berusia 22 tahun dan suspek perempuan yang berusia 17 tahun dikenakan tahanan reman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Mereka bagaimanapun dibenarkan pulang selepas kedua-duanya diberikan jaminan polis. – Malaysiapost