Anwar sahkan terlibat proses pengampunan Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau adalah sebahagian daripada individu yang terlibat dalam proses pengampunan Datuk Seri Najib Razak namun menjamin tidak akan berlaku sebarang konflik kepentingan.

Ia sekali gus memberi bayangan bahawa beliau akan menjadi salah seorang yang berada dalam Lembaga Pengampunan bagi permohonan berkenaan.

Anwar berkata, tidak timbul sebarang konflik mengenai kedudukan beliau ketika ini untuk menjadi sebahagian daripada proses tersebut.

“Dia tidak berbangkit (konflik), soalnya proses mohon pengampunan dibenarkan oleh sesiapa tetapi tentunya kita akan patuh pada syarat dan peraturan.

“Walaupun saya akan berada dalam proses itu, akhirnya seperti yang saya tahu, soal penganugerahan pingat, soal pengampunan itu bawah budi bicara Yang-di Pertuan Agong,” katanya.

Anwar menegaskan masih terlalu awal untuk beliau bercakap mengenai proses tersebut memandangkan ia masih lagi di peringkat awal.

“Masih terlalu awal, saya pun belum lihat apa-apa dokumen lagi setakat ini. Kita perlu lihat kes secara menyeluruh dah proses ini masih lagi dalam peringkat awal.

“Apa yang saya lihat buat masa ini cuma permohonan dari Umno dan parti atau individu ada hak untuk buat rayuan,” katanya.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memohon pertimbangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal.

Ini bermakna Najib kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi Pengampunan Diraja daripada Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights