Isu Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman

Isu Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman

PENDIRIAN Malaysia berkenaan Laut China Selatan adalah konsisten dan kekal tidak berubah.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan tegas dan komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia di dalam kawasan maritimnya di Laut China Selatan, seperti yang terkandung dalam Peta Baru Malaysia 1979.

“Malaysia berpendirian teguh bahawa isu-isu berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif, berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen BangsaBangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (KUUL 1982),” kata kenyataan itu.

Menurut Kementerian Luar Negeri, perkataan ‘rundingan’ yang dimaksudkan menegaskan Malaysia menolak keras sebarang kekerasan dan ketenteraan terhadap isu yang terkait dengan Laut China Selatan.

“Rujukan kepada ‘rundingan’ semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen pada 4 April 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermaksud sebarang isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibincangkan atau diselesaikan secara aman.

“(Iaitu) menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik tanpa menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara, untuk mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan (escalation) dan ancaman atau penggunaan kekerasan (threat or use of force).

“Dalam usaha bersama demi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laut yang aman, stabil dan selamat untuk laluan perdagangan, maka dalam konteks ini Malaysia akan terus mengambil pendekatan diplomatik dalam urusannya dengan lain-lain negara, termasuk China,” katanya.

Menurut kementerin itu, pendekatan ini adalah selaras dengan peruntukan yang terkandung di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) antaranya, penyelesaian konflik dengan aman dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan seperti yang dipersetujui oleh Negara Anggota ASEAN dan China pada 2002.

“Pendekatan rundingan juga sedang diambil Negara-Negara Anggota ASEAN dan China untuk memuktamadkan sebuah Kod Tatalaku di Laut China Selatan.

“Negara-Negara Anggota ASEAN dan China komited terhadap proses ini bagi menghasilkan sebuah Kod Tatalaku berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk KUUL 1982,” katanya.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan yang cuai berhubung kedudukan negara di Laut China Selatan.

Muhyiddin berkata, implikasi kenyataan Anwar itu secara tidak langsung memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.

Bagaimanapun Anwar membidas Muhyiddin dengan mendakwa ianya tidak bersandarkan kenyataan sebenar beliau dalam isu berkenaan.

“Muhyiddin ini, dia banyak masalah sekarang, dia tak baca kenyataan saya, …tiada langsung saya sebut saya nak tolak ansur dan ini yang saya sampaikan kepada pemimpin-pemimpin China yang tidak dilakukan beliau (Muhyiddin).

“China menyatakan ada bertindih jadi kalau begitu kita berbincang tetapi tidak menghalang untuk kita teruskan projek.

“Projek tetap berjalan jadi apa yang tidak kita kompromi kerana projek cari gali Petronas akan tetap berjalan di kawasan yang kita percaya milik negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen