Malaysia kena lantang tekan PBB, OIC campur tangan isu Palestin

MALAYSIA perlu lebih lantang dan berperanan mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin yang berterusan dizalimi rejim Zionis.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan tidak boleh berdiam diri dan perlu terus melakukan segala upaya untuk menekan institusi antarabangsa agar segera bertindak berhubung isu terbabit.

Katanya, ia boleh dilaksanakan sama ada melalui saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin.

“PN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan keji tentera zionis Israel yang telah beberapa kali menceroboh perkarangan Haram Al-Sharif dan melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap jemaah awam Palestin di Masjid Al-Aqsa semenjak beberapa hari lalu.

“Tindakan tentera zionis Israel tersebut yang terus dilakukan di saat ini merupakan perbuatan keji dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi kerana dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Muhyiddin, perbuatan biadab rejim zionis tersebut juga telah dilakukan hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L.32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.

“Sebagai anggota UNHRC bagi sesi 2022-2024, Malaysia perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin.

“Serangan keterlaluan dan provokatif ini memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Timur tengah dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai,” katanya.

Tambah Muhyiddin, peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Laporan media menyatakan bahawa keganasan yang sama berlaku pada Ramadhan 2021 dan 2022.

“Ketegangan antara Israel dan Palestin telah mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Justeru, adalah wajar bahawa PBB semasa mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights