KERAJAAN sekali lagi menegaskan tidak akan bertolak ansur berhubung isu perairan Laut China Selatan yang kini menjadi pertikaian dengan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kedua-dua negara setuju sebarang pertikaian diselesaikan di meja rundingan.
“China menyatakan ada yang bertindih jadi kalau begitu kita berbincang tetapi tidak menghalang untuk kita teruskan projek,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Anwar berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan yang cuai berhubung kedudukan negara di Laut China Selatan.
Muhyiddin berkata, implikasi kenyataan Anwar itu secara tidak langsung memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kenyataan Muhyiddin itu tidak bersandarkan kenyataan sebenar beliau dalam isu berkenaan.
“Muhyiddin ini, dia banyak masalah sekarang, dia tak baca kenyataan saya, …tiada langsung saya sebut saya nak tolak ansur dan ini yang saya sampaikan kepada pemimpin-pemimpin China yang tidak dilakukan beliau (Muhyiddin).
“China menyatakan ada bertindih jadi kalau begitu kita berbincang tetapi tidak menghalang untuk kita teruskan projek.
“Projek tetap berjalan jadi apa yang tidak kita kompromi kerana projek cari gali Petronas akan tetap berjalan di kawasan yang kita percaya milik negara,” katanya.
Anwar menegaskan isu seumpama itu tidak akan berbangkit jika pihak pembangkang menunjukkan kehadiran yang positif di Parlimen.
“Ini adalah masalah pembangkang yang dia tidak dapat nak tumpukan, tak hadir parlimen, tak dengar pandangan dan tak baca ulasan kerana kita konsisten sebut projek cari gali ini diteruskan,” katanya. – Malaysiapost