Nuzul Quran: Anwar seru umat Islam banyakkan baca al-Quran

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam untuk memperingati peristiwa Nuzul al-Quran dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran.

Perdana Menteri berkata, kitab suci yang diturunkan pada bulan Ramadan itu mengandungi mesej yang sarat dengan petunjuk yang meluruskan perbedaan antara yang haq dan batil.

Beliau berkata, ia juga sebagai satu bentuk kesyukuran atas turunnya mukjizat Allah SWT yang menjadi sumber kekuatan dan kejayaan umat kelak.

“Mudah-mudahan mukjizat agung ini akan memberikan syafaat kepada kita semua di akhirat kelak, InsyaAllah,” katanya menerusi Facebook.

Anwar berkata, dalam bulan Ramadan juga terdapat peristiwa besar seperti Perang Badar pada tahun kedua Hijrah dan pembukaan Kota Makkah pada tahun kelapan Hijrah.

Katanya, ia menunjukkan siri peristiwa dalam bulan Ramadan ini penting dan strategik dalam konteks sejarah perjuangan dakwah Rasulullah SAW.

Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan di Gua Hira, Makkah iaitu tahun ke-41 keputeraan baginda. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights