Polis nafi tuduhan ‘peraga’ pasangan kekasih berkelakuan tidak senonoh

POLIS menafikan dakwaan sengaja ‘memperagakan’ pasangan kekasih yang melakukan perbuatan jelik di tempat awam semasa suspek mendapatkan proses reman di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, semalam.

Keua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata tuduhan tersebut seperti yang tular dan dilaporkan sebuah portal berita semalam adalah tidak benar.

“Adalah tidak benar dua suspek yang dibawa ke mahkamah untuk proses reman ‘diperagakan’ (paraded) sebagaimana didakwa dalam laporan itu.

“Kedua-dua suspek bersama beberapa suspek lain dibawa dengan kenderaan polis ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. Mereka kemudiannya dibawa berjalan melalui laluan lazim untuk ke mahkamah bagi proses reman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang perjalanan di laluan itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam tidak mengatur mana-mana pihak atau jurugambar untuk berada di lokasi bagi membuat rakaman atau liputan ketika suspek dibawa untuk proses reman.

Mohd Sohaimi berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran prosedur sepanjang proses reman berkenaan.

Semalam, Mahkamah Majistret Johor Bahru memerintahkan pasangan kekasih yang didapati melakukan perbuatan jelik di tempat awam pada 29 Mac lalu direman dua hari bagi membantu siasatan.

Pasangan kekasih berusia 22 dan 17 tahun itu ditahan selepas rakaman video memaparkan perbuatan mereka di tempat letak kenderaan di kawasan Taman Kota Masai, Pasir Gudang, tular dalam media sosial. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights