‘Raya bila nampak anak bulan, jadi jangan memandai-mandai’ – Azhar Idrus

‘Raya bila nampak anak bulan, jadi jangan memandai-mandai’ – Azhar Idrus

UMAT Islam dinasihati tidak masuk campur urusan penetapan tarikh Aidilfitri kerana ia perlu ditentukan berdasarkan cerapan anak bulan.

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, bulan Syawal hanya boleh ditetapkan apabila nampak anak bulan dan bukannya berdasarkan tarikh dalam kalendar yang dibuat awal.

Azhar berkata, penentuan kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).

Katanya, ramai pengguna media sosial yang jahil agama menggesa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengumumkan tarikh raya lebih awal.

“Ramai netizen marah sebab kerajaan termasuk JAKIM tidak mahu tetapkan lagi tarikh raya kerana kalau mengejut susah.

“Raya mengejut terjadi kalau nampak anak bulan. Kalau tidak nampak, tidak adalah raya mengejut. Empat mazhab; Syafii, Hanafi, Hambali dan Maliki semua menggariskan perlu rukyah dan hisab tengok anak bulan.

“Nabi kata mulakan berpuasa jika anak bulan Ramadan, mulakan raya jika nampak anak bulan Syawal. Mu (kamu) siapa nak lawan cakap Nabi? Agama ikut mu ke mu ikut agama?,” katanya dalam video ceramah di Facebook.

Semalam, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

Azhar turut menasihati orang awam agar menyerahkan bab hukum agama kepada ulama’ dan pakar agama daripada bersikap ‘memandai-mandai’ sehingga menimbulkan fitnah.

“Dalam bab agama, semua orang nak masuk campur. Kenapa dalam bab lain, kita tidak masuk campur?,” katanya. – Malaysiapost

Komen