PERUNTUKAN sebanyak RM100,000 diluluskan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membina dua unit tangki air dengan segera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tangki air berkenaan boleh menampung sehingga 10,000 gelen air sekaligus mengatasi isu masalah air yang sejak sekian lama dihadapi warga MRSM berkenaan.
“Pagi ini saya melawat MRSM Kota Kinabalu selepas menerima maklum balas ramai ibu bapa tentang kondisi MRSM yang sudah berusia 21 tahun ini.

“Antara isu utama yang dibangkitkan ialah masalah air. Malah ada pelajar yang saya temui sendiri di bilik-bilik asrama mereka mengesahkan sekurang-kurangnya sebulan satu atau dua kali mereka akan berhadapan dengan masalah air.
“Insya-Allah, saya telah mengumumkan kelulusan peruntukan RM100,000 yang dipohon untuk membina dua unit tangki yang boleh menampung sehingga 10,000 gelen air untuk segera dibina,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung Umno, juga sempat buat lawatan ke Dewan Selera dan dapur penyediaan makanan untuk memastikan tahap kebersihan serta kualitinya terpelihara.
Menurutnya, fasiliti lain yang dilawat adalah bilik-bilik guru, asrama putera dan puteri untuk melihat sendiri kondisi serta suasana pembelajaran dan penginapan pelajar.

“RM320,000 juga saya umumkan kelulusan untuk penyelenggaraan baik pulih, penggantian perkakasan, perabot, kelengkapan pembelajaran di asrama dan bangunan akademik juga pemasangan hawa dingin di PSIB dan Dewan Kuliah.
“Umumnya kondisi maktab dan asrama adalah baik bahkan komen salah seorang pelajar perempuan daripada Tamparuli yang saya temui, “Best hidup di MRSM ni sebab tempat belajarnya baik, guru-guru memang best!”.
“Ada yang bila saya pura-pura kata nak tukar operator dewan selera kalau makanan yang disediakan tak berkualiti dan tak sedap, cepat-cepat mereka ramai-ramai kata, ‘Jangan tuan, makanan sini sedap dan menyelerakan!,” katanya.
Beliau berharap, pelajar MRSM dapat belajar dengan baik dan berjaya sehingga menjadi manusia bermanfaat yang mampu mengubah kondisi sosio-ekonomi keluarga dan masyarakat masing-masing dengan bekalan ilmu di dada. – Malaysiapost