Cagar pinjaman KWSP tindakan ‘luar tabii’ kerajaan – Muhyiddin
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan kerajaan membenarkan pencarum mencagarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pinjaman bank sebagai tindakan ‘luar tabii’.
Menurutnya, ia keadaan yang luar biasa kerana kerajaan dilihat menggalakkan rakyat yang sedang terkesan untuk membuat pinjaman bank dengan mencagarkan simpanan KWSP.
Beliau berkata, tindakan itu hanya menambah beban rakyat yang sudah terbeban dengan hutang yang tinggi.
“Saya dengar dia kata boleh pakai wang yang ada dalam KWSP sebagai cagaran untuk pinjaman daripada bank. Itu agak luar tabii juga…luar biasa.
“Pasal kerajaan menggalakkan supaya rakyat meminjam daripada bank dan oleh sebab bank memerlukan cagaran dia kata boleh pakai duit daripada KWSP untuk dijadikan cagaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penghayatan Nuzul Al-Quran & Badar Al-Kubra Negeri Kelantan, di Pasir Puteh malam tadi.
Menurut Muhyiddin, ada pendapat mengatakan ‘i-Cagaran’ itu agak aneh dan tidak membantu rakyat, hingga ia tiada sambutan daripada pencarum KWSP yang mahu membuat pinjaman seperti yang dicadangkan kerajaan itu.
Beliau berkata, dalam usaha membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara, tindakan kerajaan hari ini sama ada cepat atau lambat akan membawa kesan yang lebih besar dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi.
“Kalau tindakan tidak diambil dengan cepat dan segera, hanya kerana pada tahun lalu sudah ada kadar pertumbuhan ekonomi pada kadar 8.7 peratus. Tahun ini dijangka akan turun kepada 4.3 peratus kalau tak siap saya.
“Bila turun itu maknanya, kesan kepada kegawatan ekonomi dunia memberi kesan kepada negara kita dan jika kerajaan tidak ambil langkah segera, saya takut ekonomi negara akan jadi lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, sebab itu pembangkang menyuarakannya di Parlimen sebagai contoh membawa usul pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar, namun malangnya usul berkenaan ditolak.
“Semasa saya mentadbir kerajaan dahulu memang ada permintaan (pengeluaran KWSP) dan kerajaan ketika itu mempertimbangkannya serta membenarkan pengeluar seperti i-Sinar dan i-Citra.
“Namun dalam Belanjawan 2023 yang lalu, kerajaan mengumumkan RM1 bilion disuntik ke dalam tabung KWSP kepada pencarum yang mempunyai simpanan RM10,000 ke bawah,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu kelihatan berniat baik, tetapi ia bukan yang diinginkan rakyat tertentu kerana mereka mahu mengeluarkan simpanan untuk kegunaan yang mendesak.
“Ini (suntikan simpanan) satu cara yang saya tak faham…kenapa tindakan kerajaan sebegitu yang secara zahirnya nampak seperti membantu, tetapi tidak membantu,” katanya. – Malaysiapos