HASRAT Umno memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak, mengikut prosedur perundangan sedia ada dan tiada desakan politik.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya mengikuti semua prosedur perundangan sebelum membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan untuk memberi pertimbangan itu.
“Kami sebagai sebuah parti politik tentunya mengikut semua prosedur perundangan sedia ada dan apabila prosedur diikuti, ia terserah kepada Lembaga Pengampunan,” katanya memetik laporan Bernama.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata pihaknya sudah berikhtiar untuk memperoleh tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Perdana Menteri berkata isu tidak seharusnya berbangkit kerana sesiapa sahaja dibenar mengemukakan permohonan bagi memperoleh pengampunan dan semua pihak perlu mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan. – Malaysiapost