Op Khas Pagar Laut kekang jenayah laut ketika musim perayaan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula OP Khas Pagar Laut di seluruh perairan Malaysia terutamanya di ‘hot spots’ sempena musim perayaan Aidilfitri pada tahun ini bermula 9 April sehingga 30 April ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), selaku pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi khas itu bertujuan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan ketika musim perayaan.

“Penjenayah mungkin beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti dan meraikan perayaan.

“Justeru mereka mengambil kesempatan melakukan aktiviti jenayah seperti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta barangan kawalan, pencerobohan, serta lain-lain jenayah melalui jalan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Kimanis, kira-kira 15 batu nautika di barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang, semalam.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, Pegawai-Pegawai Memerintah Kapal serta para pegawai dan anggota Maritim Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

“Sempena operasi pada kali ini, seramai 800 pegawai dan anggota penguatkuasa akan ditugaskan dengan kekuatan 45 pelbagai aset milik agensi bagi melaksanakan rutin rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara.

“Maritim Malaysia turut bersedia mengerahkan aset melaksanakan tugas carilamat sekiranya berlaku insiden membabitkan kapal atau bot yang membawa penumpang asing pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun lalu, OP Khas Pagar Laut berjaya membuat 63 kes tangkapan pelbagai kesalahan seperti kemasukan PATI, penyeludupan dadah, mercun dan pencerobohan bot asing dengan nilai rampasan RM23 juta.

Untuk rekod Op Khas Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini merupakan tahun kelapan, melibatkan semua Maritim Negeri termasuk Zon Maritim. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights