Pekebun kecil getah terima ‘duit raya’ mulai 17 April ini

SERAMAI 318,642 pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) berjumlah keseluruhan RM63.75 juta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan mengenainya, berkata melalui penyaluran bantuan itu setiap pekebun kecil getah akan memperoleh BKKA sebanyak RM200.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata bantuan itu akan disalurkan oleh kementeriannya dan Risda bermula 17 April ini.

“BKKA yang bakal disalurkan adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri melibatkan seramai 850,000 orang pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.

“Bantuan ini dilaksanakan bertujuan bagi meringankan bebanan kewangan dan memberi keceriaan kepada golongan pekebun kecil getah untuk memenuhi keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Sabah 2023 di Masjid As Salam, Kampung Benoni, di Papar, semalam.

Ahmad Zahid berkata, secara umumnya, bakal penerima BKKA adalah dari kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022.

“Bantuan ini akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima sepertimana yang telah didaftarkan dengan Risda.

“BKKA disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan kebun di bawah 2.5 hektar,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights