Permohonan pengampunan diraja tak beri tekanan pada Agong – Isham

TINDAKAN Umno mengemukakan pengampunan Yang di-Pertuan Agong bagi membebaskan Datuk Seri Najib Razak adalah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil berkata, tiada sesiapa boleh menghalang seseorang individu untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Malah katanya, permohonan pengampunan itu tidak akan memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana ia bergantung atas budi bicara baginda.

“Tiada siapa boleh halang untuk sesiapa mohon pengampunan. Kuasa untuk beri pengampunan adalah atas budi bicara dan hak Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya hari ini.

Mengulas bantahan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terhadap usaha pengampunan Najib, Isham menegaskan, sepatutnya Bersih mengambil serius mengenai keadilan diterima bekas Perdana Menteri itu di mahkamah.

“Bersih sepatutnya lebih risau berkenaan kepincangan dan ketidakadilan sistem perundangan negara, bukan menghalang hak sesiapa untuk mohon pengampunan,” katanya.

Kelmarin, MKT Umno memohon pertimbangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights