DUA petisyen dilancarkan berhubung Pengampunan Diraja untuk membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, masing-masing hampir mencapai jumlah sasaran.
Setakat jam 3.30 petang tadi, tinjauan Malaysiapost di platform change.org mendapati petisyen “Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan” kian hampir kepada sasaran 150,000 tandatangan.
Petisyen digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu meraih sebanyak 146,985 tandatangan membantah bekas Perdana Menteri itu diberi pengampunan diraja.
Manakala petisyen yang menyokong “Bebaskan Najib Razak Melalui Pengampunan Diraja” juga hampir kepada jumlah sasaran tandatangan.
Petisyen digerakkan individu bernama Ariff Lias telah meraih tandatangan sebanyak 13,785, hanya sedikit lagi untuk menepati sasaran 15,000 tandatangan.
Kedua-dua petisyen memberi penjelasan tersendiri berhubung Pengampuan Diraja berkenaan.
Kelmarin, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memohon pertimbangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal. – Malaysiapost