TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Umno memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah sebagai desakan politik.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun berkata, ia terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu mempertimbangkan perkara itu atau sebaliknya.
“Isu memohon pengampunan, ia ada proses dan prosedur tertentu. Setahu saya sesiapa boleh memohon, namun dia (Umno) menggunakan desakan politik.
“Terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu pertimbang perkara itu atau tidak,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat pimpinan Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Pasir Puteh, malam tadi.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, mengulas mengenai tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang sebulat suara memohon Agong memberikan pengampunan penuh kepada Najib.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan kelmarin, berkata permohonan itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, MKT Umno sebulat suara bersetuju memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan Umno.
Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas berhubung pembabitan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam proses penilaian permohonan Pengampunan Diraja untuk Najib.
“Saya tidak boleh komen kerana perkara itu bersandarkan perlembagaan undang-undang,” katanya. – Malaysiapost