Anwar santuni peniaga, pembeli Bazar Ramadan Taman Jati
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa mengunjungi Bazar Ramadan Taman Jati, Meru di Ipoh, hari ini.
Beliau tiba sekitar pukul 5.35 petang, telah meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat gerai jualan selain sempat beramah mesra dengan penjual dan pembeli.
Ahli Parlimen Tambun itu juga dilihat membeli beberapa juadah berbuka puasa termasuk lempeng pisang dan roti jala selain peniaga di bazar tersebut memberikannya lemang, ketupat dan rendang tok.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Terdahulu, dalam lawatan kerjanya di Perak hari ini, Anwar menghadiri Program Sumbangan Rahmah yang diadakan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya.
Anwar dijadualkan menghadiri majlis berbuka puasa dan solat Maghrib di Masjid Ittihadiah, Manjoi bersama masyarakat.
Beliau kemudiannya dijangka meneruskan program solat Isyak dan Terawih serta jamuan moreh bersama penduduk di Masjid Ghufran, Manjoi. – Malaysiapost