TIADA toleransi membabitkan kes buli pelajar-pelajar di asrama, tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berpendapat penggunaan fizikal yang kononnya untuk mendisiplinkan pelajar terutama ‘junior’ adalah suatu tindakan yang tidak boleh diterima.
“A big no jika guna fizikal untuk kononnya nak disiplinkan junior.
“Maaf saya tiada toleransi apabila melibatkan kes buli guna atau dera fizikal di asrama,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Hantarannya itu turut mendapat perhatian ramai pengguna Facebook yang rata-rata bersetuju perbuatan buli tidak sepatutnya berlaku di sekolah asrama.
Menurut mereka, pembuli wajar dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang asrama.
“Setuju sangat-sangat. Ambil tindakan tegas pada mereka yang gunakan kekerasan,” kata Muhammad Faiz Hashim
“Terbaik Dato… ambil tindakan juga pada pengetua dan cikgu-cikgu yangg terlibat dlm merahsiakan kes buli, pukul dan kaki samseng,” kata Nazim Ab Ghani pula.
Nazeri Rahim pula berpendapat perbuatan buli bukan sahaja berbentuk fizikal, malah secara penderaan mental di kalangan pelajar senior dan junior.
“A big no juga jika berlaku penderaan mental untuk junior walaupun tanpa sentuhan fizikal. Boleh mengakibatkan stress berpanjangan.
“Harap tiada lagi alasan untuk senior disiplinkan junior. Semoga tindakan tegas boleh dilakukan untuk membendung gejala ini,” komennya. – Malaysiapost