TARIKH bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada penjawat awam dan pesara awam dipercepatkan kepada 14 April ini.
Perkara ini dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed berdasarkan surat edaran bertarikh hari ini.
Berdasarkan surat edaran itu, beliau memaklumkan kerajaan bersetuju membuat tarikh perubahan yang sebelum ini dipersetujui pada 17 April.
“Sukacita dimaklumkan bahawa, mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam membuat persediaan untuk menyambut perayaan tidak lama lagi.
“Kerajaan telah bersetuju untuk membuat perubahan ke atas tarikh pembayaran BKKA tahun 2023 kepada Pegawai Perkhidmatan Awam dan Pesara Kerajaan daripada 17 April kepada 14 April 2023,” katanya. – Malaysiapost