Bekas MB Perlis didakwa buat tuntutan palsu berjumlah RM1.18 juta
BEKAS Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man didakwa atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1.18 juta di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini.
Azlan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong didakwa membuat tuntutan palsu membabitkan tiket penerbangan pergi balik, penginapan dan kos pengangkutan di London, United Kingdom.
Memetik laporan FMT, berdasarkan kertas pertuduhan, tuntutan berkenaan dibuat tanpa perjalanan sebenar dilakukan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013 dan 2017.
Azlan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Beliau kemudian dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, dan diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu kes selesai.
Bagi tuduhan pertama, Azlan didakwa secara palsu menuntut RM230,230 untuk tiket penerbangan pergi balik, penginapan hotel dan pengangkutan di London antara 20 Disember 2013 dan 4 Januari 2014.
Tuduhan kedua, beliau didakwa secara palsu menuntut RM216,260 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan hotel antara 20 November 2014 dan 18 Disember 2014.
Pertuduhan ketiga pula, Azlan didakwa secara palsu menuntut RM241,295 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan hotel antara 30 November 2015 dan 21 Disember 2015.
Bagi tuduhan keempat, beliau didakwa secara palsu menuntut RM253,195 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan hotel antara 8 November 2016 dan 29 Disember 2016.
Tuduhan kelima, Azlan didakwa secara palsu menuntut RM244,079 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan hotel antara 8 Nov 2017 dan 30 Nov 2017.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu atas kapasitinya sebagai Menteri Besar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, manakala Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff. – Malaysiapost