Jamal sahkan dipanggil Lembaga Disiplin Umno

DATUK Seri Jamal Md Yunos menafikan dakwaan menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya bagi mengekalkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar pada pemilihan parti 18 Mac lalu.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah yang dibuat pihak lawan yang kalah dalam pemilihan parti peringkat Bahagian Sungai Besar itu.

Jamal bagaimanapun tidak menamakan pihak yang didakwanya melakukan fitnah berkenaan.

“Saya nafikan. (Ini) fitnah daripada pihak yang kalah dalam pemilihan lepas,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau turut mengesahkan dipanggil Lembaga Disiplin Umno bagi menjawab dakwaan melakukan perbuatan rasuah dan sogokan politik dengan memberikan wang sebanyak RM1,000 kepada 12 perwakilan.

“Memang betul saya akan dipanggil Lembaga Disiplin Rabu nanti pada 12 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Jamal berkata beliau akan memberikan penjelasan kepada Lembaga Disiplin Umno dan membuat sidang media selepas itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

“Saya akan membuat penjelasan mengenai aduan oleh pihak tersebut,” katanya.

Pada 18 Mac lalu, Jamal mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar bagi penggal 2023-2026 dengan menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Beliau mendapat sebanyak 373 undi manakala Mohamad Khir memperoleh 254 undi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Jamal dipanggil bagi pendengaran Lembaga Disiplin Umno apabila didakwa menyogok 12 orang perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti.

Menerusi sepucuk surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Mohd Hafarizam Harun bertarikh 7 April 2023, beliau dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan Umno dan Tataetika Ahli Umno yang boleh dihukum bawah Fasal 20.9

Dalam surat itu juga, perwakilan yang diberikan sogokan diarahkan bersumpah untuk mengundi Jamal dalam pemilihan parti.

Selain wang tunai, perwakilan turut diberikan satu beg perwakilan mengandungi kad gantung perwakilan, cai dan sekeping kad jemputan dikatakan boleh ditunaikan berjumlah RM2,000 jika Jamal menang pemilihan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights