Kekejaman Isreal terhadap Palestin, siri ulangan saban tahun – Mat Sabu

KEZALIMAN Zionis Israel dalam bulan Ramadan terhadap rakyat Palestin dan Masjid Al Aqsa adalah siaran ulangan yang berlaku saban tahun. 

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, siaran ulangan ini akan terus berlaku setiap tahun selagi pemimpin arab tunduk kepada Anglo Amerika. 

“Berulang kali saya menyatakan kezaliman Zionis Israel dalam bulan Ramadan terhadap rakyat Palestin dan Masjidil Aqsa adalah siaran ulangan. Yang menjadi masalah ialah sikap umat Islam khususnya negara-negara Arab yang pro-Amerika dan Britain. 

“Mereka sanggup membiayai dana berbilion dollar kepada kumpulan militan Al Qaeda dan Daesh untuk menjatuhkan rejim sesama negara Arab seperti yang berlaku di Syria, Iraq, Iran dan Yaman.

“Mereka boleh duduk bermesyuarat bagi merancang serangan terhadap rakyat Yaman sehingga hancur negara tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, negara-negara Arab langsung tidak boleh membiayai perjuangan untuk menghadapi kezaliman Israel yang menindas dan menzalimi rakyat Palestin. 

“Amat memalukan apabila rakyat dan NGO-NGO di Eropah yang diketuai oleh mereka yang bukan beragama Islam lebih lantang dan agresif menentang kekejaman Israel.

“Inilah nasib yang menimpa umat Islam dan umat Arab. Apabila pemimpin-pemimpin mereka masih tunduk kepada Anglo Amerika, mereka sesekali tidak akan membantu perjuangan pembebasan Palestin,” katanya. 

Namun, Mohamad menegaskan, umat Islam dan Arab serta seluruh manusia yang cintakan keadilan akan terus menyokong perjuangan Palestin daripada kekejaman rejim Israel yang dibentuk dan disokong oleh Eropah. 

“Saya berkeyakinan Eropah yang menjadi sumber kekuatan kepada Israel hari ini semakin melemah dengan perubahan dunia kepada kuasa Timur. 

“Sekali gus nasib Israel akan semakin lemah dan akan terhapus tidak lama lagi. Begitu juga dengan rejim-rejim Arab yang pro Anglo Amerika akan berhadapan dengan masalah di masa akan datang apabila kuasa penaung mereka semakin lemah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights