SIASATAN terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berhubung kenyataan berunsur perkauman sedang dijalankan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis menerima sejumlah aduan yang dibuat berkaitan perkara tersebut.
“Saya cuma boleh sahkan sejumlah aduan yang dibuat, kemudian kertas siasatan telah dibuka.
“Biar proses siasatan itu berlaku dahulu, dan kemudian ia akan dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara. Setakat itu dahulu, saya mengesahkan perkara tersebut,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dikesan membuat kenyataan yang didakwa menfitnah ke atas orang bukan Islam dan kenyataan itu dilaporkan Abdul Hadi bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia.
Ogos lalu, Abdul Hadi juga pernah mengeluarkan kenyataan mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara, selain memberi perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah ‘penyakit denggi’. – Malaysiapost