Lanjut usia persaraan tutup ruang anak muda masuk alam pekerjaan

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mengesyorkan kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya dalam menangani cadangan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata kerajaan perlu melihat impak secara keseluruhan, termasuklah masa depan negara.

“Pertama, isu ini dibangkitkan kerana keresahan segelintir pihak bahawa tabungan persaraan tidak mencukupi bagi kebanyakan rakyat. Ia perlu dilihat melalui beberapa sudut. Antaranya, kerisauan kerana tabungan KWSP kian menyusut dan kadar dividen tidak begitu tinggi sejak negara dilanda Covid-19.

“Kerisauan juga disebabkan oleh kos sara hidup yang kian meningkat hingga tabungan hari tua tidak mencukupi.

“Kedua, jika dipanjangkan usia persaraan, ia menutup ruang anak-anak muda graduan untuk masuk alam pekerjaan, sekiranya tiada peluang pekerjaan baharu diwujudkan.

“Peluang pekerjaan terbuka apabila ada kekosongan jawatan akibat persaraan. Anak-anak muda terpaksa menunggu lagi lima tahun untuk masuk ke alam pekerjaan dek kerana tiada kekosongan jawatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Shahir, ketika usia emas, 65 tahun, ramai yang mahu berehat dan fokuskan kepada urusan diri sendiri, bukannya masih terkejar-kejar dengan jadual kerja yang ketat.

Pada masa sama, katanya, dengan keadaan teknologi makin pesat berkembang, adalah agak kekok untuk mereka di usia 65 tahun untuk belajar teknologi baharu.

“Contohnya, jika dahulu jualan dibuat di kedai, kini mereka perlu membuat jualan dan kempen secara online di TikTok.

“Kerajaan perlu memberi penyelesaian terbaik untuk semua. Mungkin diberi lebih banyak insentif kepada warga emas atau pesara.

“Pada masa sama, kerajaan perlu menurunkan kos sara hidup agar semua tidak terbeban dengan situasi kewangan semasa,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights