MAIS sumbang RM11.3 juta bantu asnaf riqab

MAIS sumbang RM11.3 juta bantu asnaf riqab

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan sebanyak RM11.3 juta kepada 26 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab, semalam bagi membantu kebajikan asnaf riqab khususnya di Selangor.

MAIS dalam satu kenyataan, memaklumkan sumbangan itu adalah membabitkan kos program, pengurusan dan penjagaan asnaf riqab di Rumah Pemulihan Riqab yang berada di bawah seliaan MAIS bagi tahun 2023.

Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Islam Tersisih Selangor (PAKATs), Rumah Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS), Rumah Teduhan Kasih, Rumah Penawar dan Rumah Sahabat.

“MAIS juga turut menyumbang sebanyak RM306,000 kepada 1,207 orang asnaf riqab di negeri ini bagi membantu asnaf-asnaf tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

“Bantuan yang diagihkan adalah menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab,” katanya.

Menurutnya, penyampaian sumbangan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon, pada Majlis Perasmian Iftar dan Tadarus Perdana Riqab MAIS 2023 di Shah Alam, semalam.

Turut hadir Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir; Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin; dan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail.

Menurut MAIS, sumbangan itu bertujuan untuk membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.

“MAIS berharap bantuan diberikan dapat digunakan sebaiknya terutama kepada pengusaha RPR bagi membantu rumah terbabit menjalankan tanggungjawab sosial memastikan asnaf riqab diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan sewajarnya,” katanya.

Asnaf riqab adalah individu yang menghadapi masalah sosial dan aqidah seperti penagihan dadah; sumbang mahram; golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT); persetubuhan haram; dan orang Islam yang terpesong agamanya. – Malaysiapost

Komen