Mohon pengampunan Najib bukan tekanan politik tetapi solidariti politik

TINDAKAN Umno memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bukan tekanan politik tetapi solidariti politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi, menegaskan Umno menyerahkannya kepada budi bicara Agong mengikut Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan Umno, berkata tindakan itu bukanlah desakan seperti didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Muhyiddin lupa dia yang bersekongkol dengan Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) melakukan ‘pendakwaan politik’ dan ‘pendakwaan terpilih’ terhadap Najib, Zahid (Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan pemimpin Umno lain.

“Mereka melakukan tekanan politik untuk musnahkan Umno. Ia adalah konspirasi tertinggi melibatkan kontroversi perlantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad mendakwa, sebab itu Najib dinafikan hak perbicaraan adil seperti yang dirumuskan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Muhyiddin juga tahu Agong tidak tunduk pada tekanan politik.

“Muhyiddin yang guna tekanan politik untuk sambung tempoh darurat dan gantung parlimen. Tetapi ia gagal dan ditolak.

“Muhyiddin juga beri tekanan politik kononnya dia cukup nombor untuk tubuh kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Dia tolak kerajaan perpaduan. Tetapi Agong lebih bijaksana dan tidak tunduk kepada tekanan politik,” katanya.

Menurutnya, tidak wujud konflik kepentingan pada memorandum Umno berhubung permohonan pengampunan itu kerana keputusan akhir adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.

“Sebenarnya tuduhan Muhyiddin itulah tekanan politik untuk menghalang pengampunan diraja,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights