Norizam sedia ‘jual’ Kelantan
SUSULAN prestasi buruk pasukan The Red Warrior (TRW) dalam saingan Liga Super, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia melepaskan pasukan itu kepada individu yang layak untuk memimpinnya.
Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengangkat kembali pasukan Kelantan dalam tempoh lebih dua tahun ini.
“Pelbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 sehingga sekarang. Duit saya yang KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) hutang RM 3.8 juta belum diterima lagi sesen pun.
“Banyak perancangan saya termasuk ‘progress’ fasiliti untuk TRW masih belum tercapai. Saya telah usaha untuk 2.5 tahun.
“Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi ‘owner’ kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yang mampu,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Kenyataan Norizam itu dipercayai susulan kritikan hebat penyokong Kelantan ekoran prestasi hambar ditunjukkan pasukan itu.
Kelantan yang kembali ke Liga Super berdepan beberapa siri kekalahan termasuk malam tadi tumbang kepada Selangor dengan jaringan 3-0.
Untuk rekod Kelantan merupakan pasukan gergasi bola sepak Pantai Timur yang pernah mencatat kejayaan gemilang di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa selaku Presiden KAFA. – Malaysiapost