Pendakwaan Azlan Man: Kerajaan tak campur tangan – PM
TIADA campur tangan kerajaan berhubung urusan mahu pun pendakwaan mahkamah yang dihadapi bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak pernah campur tangan sebaliknya pendakwaan berlaku susulan tindakan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang menyiasat perkara berkenaan.
“Yang paling akhir (kes) mantan Menteri Besar Perlis, bukan saya yang buat laporan kepada SPRM atau polis.
“Kerajaan hendak selamatkan negara kita daripada pemimpin-pemimpin yang kayakan diri dengan merompak harta kekayaan negeri, itu tekad saya,” ucap Anwar pada majlis berbuka puasa di Masjid Ittihadiah, Manjoi di Ipoh, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak akan bertolak ansur atau berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dengan penyelewengan termasuk rasuah.
Tegasnya, beliau tidak gentar dalam berdepan dengan mana-mana pihak yang mahu menentangnya dalam usaha melawan penyelewengan dan rasuah.
“Susah senang saya hadapi. Kalau orang nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan tetapi saya tidak akan tolak ansur daripada bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa serta negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara.
“Ambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang melakukan rasuah terutamanya setelah kita bagi amaran, dibuatnya juga.
“Ini termasuk dengan pimpinan yang ada dalam kerajaan. Baik dalam kalangan menteri di kabinet atau pimpinan di kerajaan negeri,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini kerana menghadapi lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis. – Malaysiapost
Foto kkredit Jabatan Penerangan