Permohonan pengampunan Najib tidak dibawa ke Kabinet

KABINET tidak pernah membincangkan isu permohonan pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ini kerana isu berkenaan adalah pendirian Umno, bukannya kerajaan.

“Sebab itu kita kena bezakan kerana isu itu adalah pendirian Umno sebagai parti politik, bukan pendirian kerajaan.

“Ia tak pernah dibawa ke Kabinet, jadi ia bukan pendirian Kabinet, ia pendirian parti (Umno),” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat ketetapan memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong bagi mempertimbang pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Agong mempunyai kuasa mengikut  Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Umno membuat keputusan itu selepas Najib gagal dalam permohonan semakan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Persekutuan terhadapnya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, sesiapa saja yang selepas disabitkan kesalahan, boleh memohon untuk mendapatkan pengampunan mengikut proses ditetapkan.

“Itu proses biasa dan prosesnya adil kepada semua pihak, sesiapa saja boleh memohon pengampunan namun sama ada ia dibenarkan atau sebaliknya, itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata beliau yakin Yang di-Pertuan Agong mempunyai kebijaksanaan untuk membuat keputusan.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights