Sultan Selangor ingatkan umat Islam hormati proses penetapan 1 Syawal

SULTAN Selangor berkenan bertitah dan menasihati seluruh umat Islam di negeri itu khususnya, agar menghormati semua proses yang telah ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal kepada pihak berkuasa.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam kekal tenang dan tertib dalam keadaan harmoni, serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan, sementara menunggu pengisytiharan rasmi tarikh Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang ditetapkan pada 20 April ini.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda mengingatkan umat Islam di negara ini bahawasanya Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Ru’yah dan Hisab.

“Baginda juga telah menitahkan Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor untuk memberi penjelasan mengenai kaedah dalam penentuan awal Ramadan dan awal Syawal, sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW iaitu berdasarkan ru’yah hilal atau melihat anak bulan.

“Susulan titah DYMM Sultan Selangor itu juga, Jabatan Mufti Selangor telah pun mengeluarkan kenyataan media bertarikh 7 April 2023 bertajuk Prinsip Asas Dalam Penentuan Tarikh Hari Raya di Malaysia,” tulis hantaran tersebut.

Terdahulu hari ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Khamis, 20 April bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijrah.

Perkara itu dimaklumkan bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

Sebanyak 29 lokasi terpilih di seluruh negara bagi melihat anak bulan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights