PERGOLAKAN rumah tangga Syamsul Yusof dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana bakal berakhir apabila pengarah filem itu setuju melafazkan talak pada 18 April ini.
Perkara itu disahkan peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi, lapor Berita Harian.
“Kedua-dua pihak sudah selesaikan masalah rumah tangga secara aman dan baik. Jadi, minggu depan untuk mengesahkan perjanjian dan lafaz cerai.
“Tarikh baharu ditetapkan pada 18 April ini untuk mencari persepakatan mengenai terma yang sudah dibincangkan. Pada hari itu juga, kami akan rekod di mahkamah rendah dan tinggi kerana membabitkan anak-anak.
“Anak-anak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Selepas lafaz cerai, kami akan rekod ke Mahkamah Tinggi untuk isu hadanah dan selepas itu, akan dijadikan perintah mahkamah,” katanya.
Akberdin berkata, semua proses JKP selesai kerana kedua-dua pihak telah menyatakan persetujuan untuk muktamad tarikh perceraian.
“Pada tarikh akan datang, Syamsul akan lafazkan cerai kerana sudah ada persetujuan,” katanya.
Sementara itu, Puteri Sarah bersyukur apabila permohonan perceraian sudah dipersetujui oleh Syamsul mengikut syarat yang akan dibentangkan pada 18 April ini.
Alhamdulillah, kami berjumpa dan berbincang semua terma serta syarat, semalam. Apa yang saya dan Syamsul mahukan mengenai anak-anak, nafkah dan sebagainya.
“Semalam kami selesaikan semuanya juga. Alhamdulillah, berkat Ramadan, jadi semuanya dipermudahkan hari ini.
“Kami sudah boleh teruskan dengan kehidupan masing-masing dengan tenang. Akhirnya, semua selesai dan tak perlu nak pening-pening lagi,” katanya.
Syamsul pula berkata semuanya sudah selesai demi kebaikan anak-anak.
“Semua sudah selesai. Ini semua demi kebaikan anak-anak. Saya tak nak cakap lebih-lebih,” katanya. – Malaysiapost